Anjakan Pemikiran Politik

Posted: September 29, 2011 in Uncategorized

Setelah bersetuju untuk berjuang dalam salah satu parti politik tempatan Sabah, hati saya selalu tertarik-tarik untuk lebih banyak menulis dalam lapangan ini. Bukan hanya kerana saya perlu menegaskan kepada umum tentang tujuan perjuangan politik saya, tetapi juga dalam masa yang sama jika boleh ingin mengajak rakyat-rakyat Sabah yang lain agar sama-sama memikirkan dan mendiskusi secara mendalam dan panjang lebar lapangan ini.

Kita tidak boleh memandang ringan subjek ini. Kita tidak boleh sekadar memilih dan memangkah kertas undi mengikut  kesukaan dan keringanan hati kita. Tidak begitu! hidup kita sehari-hari adalah berkait dengan politik. Pada pendapat saya politik menghuni tangga tertinggi dalam keperluan sesebuah negara dan selepas itulah baharulah ekonomi, pendidikan, budaya, keselamatan dan pelbagai yang lain menyusul. Negara itu tidak dianggap sebagai negara yang bertamadun jika sekiranya tidak ada sistem yang membolehkan negara tersebut di tadbir! dengan kata lain jika sekiranya tidak ada politik atau sistem pemerintahan. Bila sahaja sistem politik terganggu, maka sistem-sistem lain yang disebutkan tadi barulah akan terkacau sama. Politik menentukan bagaimana nanti kita mentadbir sistem ekonomi kita, sistem pendidikan kita, sistem budaya kita, sistem sosial kita dan sebagainya. Kita tidak perlu menjadi seorang politikus untuk memahami maksud ini.

Rakyat Malayia (di Sabah khususnya) masih terlalu jahil dengan politik sebelum Sabah diduduki oleh orang-orang Inggeris. Orang-orang bumiputera iaitu orang-orang Dusun, Murut, Sungei, Rungus, Bajau etc. saya kira mahu memahami kenapa kemaluan mereka perlu ditutup dengan kain sebenar dan bukannya cawat pun sudah payah, apatah lagi untuk memahami apa itu politik! jika mereka ada Ketua Kampung itu sudah cukup. Bila mereka tidak diganggu berpadi bukit atau bersawah padi itu sudah cukup. Bila orang luar daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara masuk ke Sabah ‘membantai’ peluang-peluang ekonomi orang-orang Sabah, orang-orang bumiputera ini masih berdiam diri. Tidak sedar bahawa tanah tumpah darah mereka dan nenek moyang mereka sedang di ratah oleh penjajah. Biarkanlah kata mereka, selagi tapai di tempayan tidak dikacau, kenapa mau sibuk dengan orang-orang berkulit putih dan berhidung mancung itu?

Bila Rundum, Antanom, Mat Salleh sudah mula memberontak maka perlahan-lahan jiwa patriotik (yang mencambah pemahaman politik yang lebih baik) tumbuh. Orang-orang kita mula faham kepentingan untuk menjaga negeri kita. Kepentingan untuk menjaga sumber ekonomi yang ada, menjaga budaya dan sosial yang ada dan pelbagai lagi. Masuk Tun Fuad Stephen, masuk lagi Tun Mustapha — kedua-duanya membawa satu dimensi dan persprektif politik baru kepada orang-orang bumiputera Sabah. Sudah tentu kesedaran politik bumiputera Sabah semakin meningkat. Sekarang mereka sudah tahu bahawa barang sulit mereka itu lebih baik ditutup dengan seluar ketimbang cawat.

UNKO masuk, USNO masuk. Semua ini parti-parti politik yang lahir di Sabah lama dahulu tapi saya percaya kedua-duanya sudah terkubur sama dalam dengan fosil-fosil dinosaur sekarang. Pada masa itu amat sedikit bumiputera2 ini yang tahu kewujudan UMNO, yang tahu pun adalah golongan-golongan yang terpelajar sahaja. Mereka-mereka ini sentiasa sahaja berpeluang untuk mendapatkan maklumat-maklumat baru. Bila parti BERJAYA muncul, satu fenomena politik baru muncul di kalangan rakyat Sabah. Ajaibnya orang-orang Sabah tidak perlu masa yang lama untuk memahami apa itu politik (dan sudah tentu pada masa itu pemahaman mereka dalam politik ini hanyalah berkisar dengan isu-isu biasa yang berlaku di sekeliling mereka). Tapi satu perkara yang rakyat Sabah atau lebih tepat disebut sebagai bumiputera Sabah belajar dengan cepat ialah mereka ada kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri dengan memilih parti pemerintah yang difikirkan boleh membawa perubahan dalam segenap aspek kehidupan mereka. Mereka memilih BERJAYA untuk menumbangkan USNO. Banyak sebab kenapa USNO tumbang kepada BERJAYA pada masa itu dan salah satu sebabnya (yang paling nyata pada pendapat saya) ialah bumiputera Sabah sudah muak dan syak-wasangka dengan USNO. USNO memporak-porandakan hubungan kebangsaan dan keagamaan bumiputera Sabah tambahan pula mereka sukakan sesuatu yang baru dan segar.

Bumiputera Sabah atau pengundi tulin Sabah memang terkenal dengan perangai ‘suka menukar baju’. BERJAYA semakin lupa diri apabila sudah memerintah. Janji-janji dahulu kepada rakyat dilupakan. Manifesto-manifesto politik diabaikan. Kesusahan dan kesengsaraan rakyat tidak pernah diperhatikan. Kepercayaan rakyat kepada BERJAYA satu masa dahulu dikhianati! akhirnya sekali lagi rakyat bangkit akibat daripada dendam dan kebencian kerana dikhianati dan dibohongi. Pemimpin2 BERJAYA yang ‘berpandangan jauh’ pada masa itu seperti Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan beberapa orang lagi, angkat kaki dan buat parti baru. Mereka tahu benar bahawa parti2 politik ada ‘expire date’ atau tarikh luput di Sabah. Pairin keluar dengan parti baru iaitu PARTI BERSATU SABAH (PBS). PBS lahir tepat pada masa bumiputer Sabah ternanti-nantikan satu parti baru yang boleh mereka tunggangi dan harapkan untuk menumbangkan BERJAYA. Saya sendiri hanyalah budak hingusan pada ketika itu, tetapi lagu parti itu betul2 menusuk ke dalam kalbu, ke dalam hati dan terpahat kukuh di dalam jiwa dan pemikiran saya. Bumiputera Kadazandusun pada masa itu bersatu padu! bersatu hati! mereka ada bangsa majoriti di Sabah. PBS adalah parti kaum Kadazandusun, jadi walaubagaimana keadaan sekalipun PBS akan tetap memang asalkan sahaja mereka bertanding di semua kawasan yang majoritinya adalah orang-orang Kadazandusun.

Tahun-tahun berikutnya semasa PBS memerintah, tidak dinafikan bawah orang-orang KDM semakin maju ke hadapan tidak kira dari segi apapun kerana pada masa ini PBS menolong mereka serba-serbi. Tidak keterlalun kalau saya katakan bahawa ini adalah era KDM di Sabah. Minta pinjaman diberi, minta scholarship diberi, apply tanah diberi — jika sahaja kau berbangsa KDM (atau mungkin KD). Bila para pemimpin PBS sudah mula naik tocang, mereka sudah mula pandai membahagi KDM ini. Ada KDM non-muslim dan ada pula KDM muslim. Kalau dua orang KDM yang berbeza kelas duduk bersebelahan semasa interview sudah tentu yang diambil adalah KDM non-muslim. KDM yang muslim disuruh pergi minta tolong dengan USNO atau disuruh pergi ke UMNO. Sampai begitu sekali, tidak hairanlah bahawa PBS semakin hilang sokongan di kawasan-kawasan KDM yang majoritinya muslim. Apalagi di kawasan-kawasan yang sudah terang-terang majoriti pengundi adalah muslim dan non-KDM. Tahun demi tahun PBS semakin dibenci dan orang-orang oppurtunist dan yang sentiasa ‘melihat ke hadapan’ mengambil peluang bermain ‘lompat katak’. Dulu YB ini cakap dia sanggup mati sama PBS, sekarang dia sudah lompat pigi UPKO etc. Orang-orang muslim KDM dan non-KDM yang sudah meluat dengan PBS mengalu-alukan parti baru diwujudkan di Sabah atau masuk ke Sabah.

Datuk Harris Saleh (sekarang Tun) keluar dengan parti baru iaitu BERSEKUTU (Teringat pula jata Malayasia dengan motto — Bersekutu Bertambah Mutu). Sana-sini orang bercakap pasal parti baru itu. Saya salute dengan usaha BERSEKUTU kerana mengangguk di air keruh, mengambil kesempatan daripada kebencian orang ramai kepada PBS. Awal 90’an UMNO masuk di Sabah, alasannya mereka sudah melihat peluang mereka untuk mengembangkan pengaruh di sini dan keduanya banyak pemimpin-pemimpin Sabah ini beria-ia  mahukan supaya parti orang Melayu ini masuk ke sini dan saya tidak pasti samada pemimpin-pemimpin ini kita boleh kategorikan sebagai bijak atau bodoh? dan UMNO menang pada percubaan pertama kali untuk menakluk Sabah (selepas beberapa pemimpin PBS lain mengambil keputusan untuk menikam Joseph Pairin dari belakang). Akibat daripada keputusan ‘Katak A.K.A Bongkok’ ini ia telah merubah landskap Sabah secara keseluruhan untuk 10 tahun yang akan datang. UMNO telah mengubah hubungan antara kaum, antara agama, antara budaya dan segala macam di Sabah. Dahulu kita tidak pandai mengkelaskan diri kita, sekarang kita sudah pandai. Dahulu kita tidak pandai membeza-bezakan pegangan agama, sekarang kita sudah pandai. Ada orang-orang KDM melulu yang akun pula jadi orang Melayu (supaya terus berada di dalam UMNO, supaya terus berkuasa dan berharta). Penyakit-penyakit orang Melayu bawaan UMNO sudah menular di kalangan masyarakat kita. Pun begitu, orang-orang Sabah tetap memandang UMNO atau BN itu dengan pandangan tinggi, masih menganggap mereka ini dewa-dewi.

PRU12 lalu menyaksikan tsunami politik melanda negara. BN hampir-hampir sahaja tidak berjaya mendapat majoriti  2/3 dewan. Banyak pemimpin2 BN/UMNO yang kecut perut. Di Semenanjung, nyata rakyat telah membuat pilihan yang tidak seperti selalu. Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan BN daripada tumbang pada masa itu. Bagi menghargai peranan Sabah dan Sarawak dalam menyelamatkan BN yang hampir lemas, BN menganugerahkan Sabah & Sarawak ini gelaran ‘Fix-Deposit’. Samada anda terhina atau tidak, ia bergantung bagaimana anda mentakrifkan istilah ‘fix deposit’ ini. Bagi yang sedar, memang mereka sudah mula melihat kepincangan-kepincangan dalam BN memerintah negeri ini. Daripada isu PTI, isu royalti minyak, isu tanah yang ‘dirampas’ oleh Felda, isu perkauman etc. semuanya ada sahaja kepincangan-kepincangan yang sengaja dibuat dan dibiarkan oleh BN yang ditunjangi oleh UMNO. Parti-parti Sabah yang menjadi komponen BN seperti SAPP, UPKO, PBS menjadi cacing kepanasan. Segala permasalahan yang menyangkut kepada rakyat dan negara, parti-parti ini dipersalahkan. Mereka dituduh (memang betul pun) telah gagal membela dan menjalankan tanggungjawab mereka kepada orang-orang Sabah sementalahan mereka ini duduk goyang kaki di kerusi empuk dalam rumah BN. Parti-parti ini tidak boleh berbuat apa-apa, siapa berani mendahului boss? siapa berani melawan cakap boss? akhirnya mereka memilih untuk berdiam diri walaupun telinga dan punggung semakin panas.

SAPP akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada BN, tidak lama selepas BN sekali lagi merajai Sabah pada PRU12. SAPP berpendapat selagi parti ini berada di dalam BN, selagi itulah suara-suara rakyat tidak akan didengari, selagi itulah nasib rakyat Sabah tidak terbela. Di luar SAPP boleh bersuara sebebasnya menghentam kepincangan-kepincangan BN, kebobrokan-kebobrokan BN dan sebagainya. Banyak yang bertepuk tangan dengan kelantangan SAPP, tidak kurang juga yang mengutuk dan mencaci (yang saya percaya adalah pengkhianat-pengkhianat yang telah ‘menjual’ Sabah kepada UMNO). Tapi satu yang BN lupa, bahawa dengan kelantangan dan keberanian SAPP itu telah menawan hati generasi baru Sabah yang sentiasa dahagakan reformasi atau perubahan. Selagi SAPP berpegang kepada prinsip perjuangannya “Parti Rakyat, Dari Rakyat, Kepada Rakyat” maka saya percaya SAPP akan sentiasa mendapat sokongan rakyat. Saya melihat masa depan Sabah dan rakyatnya yang lebih cerah di bawah pimpinan SAPP.

Jangan melihat parti pembangkang ini sebagai racun, sebagai perosakkan yang perlu dibendung atau dihalang atau dihapuskan. Demokrasi akan mati tanpa pembangkang. Sistem pentadbiran akan terbantut tanpa pembangkang. Sudah tiba masanya untuk kita mengubah pemikiran politik kita sudah tiba masanya kita mengubah cara kita berpolitik dan sudah tentu sudah tiba masanya KITA BERUBAH.

Perubahan untuk masa depan yang lebih cerah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s