1Malaysia — Ikhlaskah Kita?

Posted: June 25, 2011 in Uncategorized

Sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dan membuatkannya sebagai slogan politik BN/UMNO, saya rasa di Sabah sudah mengimplementasikan konsep ini terlebih dahulu sebelum Malaysia merdeka atau sebelum Sabah ikut membentuk Malaysia pada 1963. Di tanah Melayu mereka cuma ada tiga (3) bangsa utama iaitu Melayu, Cina & India walaupun sebenarnya masih ada ramai lagi bangsa yang lain. Saya rasa orang2 yang mendokong media massa utama di tanah Malaya @ Melayu sudah mula bermain dengan api perkauman apabila cuba meniadakan bangsa-bangsa lain dalam tanah Malaya.  Kes di Sabah sangat unik dan umum mengetahu bahawa kita ada 32 kumpulan etnik di sini yang hidup aman, makmur dan harmoni semenjak dahulu kala. Bukan perkara pelik apabila dalam satu kampung itu penduduknya bercampur gaul daripada orang Dusun, Bajau, Cina, Murut, Rungus, Sungai etc (yang saya tidak mampu sebutkan satu persatu). Bukan pelik juga apabila dalam satu keluarga itu anda melihat ada pelbagai bangsa di dalamnya. Orang Dusun atau Kadazan berkahwin dengan orang Cina adalah perkara biasa, orang Dusun berkahwin dengan orang Bajau adalah perkara biasa, dengan orang Suluk, dengan orang Pakistan, dengan orang Banjar, dengan orang Jawa — itu perkara biasa di Sabah.

Saya sendiri berkahwin dengan orang Sungai, adik-adik saya yang lain berkahwin dengan orang Iban dan Melayu sementara yang lain2 bertekad untuk ‘mempelbagaikan’ lagi keluarga kami dan saya percaya mereka bersungguh-sungguh bercakap begitu. Dalam keluarga saya ada yang bermata sepet, berambut kerinting, berkulit hitam manis dan bercakap pelbagai dialek dan bahasa dan semuanya berharmoni dengan baik sekali. Bila saya balik ke rumah isteri saya, saya makan bersama mereka dengan nasi dan lauk yang sama daripada periuk yang sama. Tidak timbul keluarga isteri saya itu masih beragama Kristian dan saya Muslim. Tiada yang sibuk pasal makanan itu dimasak oleh ipar-ipar atau mentua saya yang beragama Kristian. Tiada yang sibuk pasal kehalalan dan keharaman kerana mereka memang sangat menghormati agama Islam iaitu agama baru anak perempuan mereka, isteri saya. Ipar orang Melayu saya itu pula sangat baik orangnya, tidak sombong dan tidak racist seperti orang Melayu yang lain. Masa dia naik meminang hari itu, saya awal2 bagi warning supaya ” Di mana tanah dipijak di situ langit dijunjung” dan saya percaya dia betul2 ingat dan amalkan pepatah itu. Yalah bukankah bangsanya sendiri yang mencipta pepatah itu?

Dahulu orang-orang di Sabah merujuk orang itu tepat kepada bangsanya. Kalau dia adalah orang Dusun, maka dia akan dipanggil orang Dusun. Kalau dia orang Bajau, dia akan dirujuk sebagai orang Bajau etc. Setiap satunya dirujuk mengikut bangsa mereka sendiri. Sekarang ini pengkelasan yang diterima umum oleh semua rakyat Sabah ini sudah mula rosak, semuanya selepas UMNO masuk ke Sabah. Sekarang ini orang-orang Sungai yang beragama Islam tidak mahu dipanggil Orang Sungai lagi, mereka mahu dipanggil orang Melayu. Demikian juga bangsa2 lain yang beragama Islam, mereka tidak mahu lagi dipanggil Bajau, Suluk, Bugis Idahan tapi mereka ini mahu dikelaskan sebagai orang Melayu — mahu mengikut seperti yang ada di Malaya! orang Melayu, Cina dan India. Rosak! memang sudah rosak. Bila saya bercerita dengan kawan2 beragama Islam yang lain mereka selalu merujuk diri mereka itu orang Melayu dan mereka orang Cina. Saya sendiri seorang Muslim yang berbangsa Dusun — Dusun sebenar tapi tidak pula sehingga mengaku saya ini orang Melayu. Saya tidak mahu mengadaikan bangsa saya hanya kerana agama.

Tidak hairanlah jika sekarang ini jurang perkauman di Sabah semakin membesar dari hari ke hari dan inilah yang disukai oleh orang-orang dari tempat lain supaya kita ini berpecah dan kita mudah untuk diperintah dan dikuli-kulikan. Sekumpulan manusia yang berlainan bangsa atau pun agama di Sabah boleh duduk minum kopi atau makan-makan dalam satu meja. Si Cina makan babi, si Bajau dan si Bugis tidak kisah — lantak dialah apa mau makan. Jangan mulut si Bajau itu dan si Bugis itu disuap dengan babi — sudah. Orang Dusun mau makan tuhau, mau makan jeruk ikan siapa mau ambil pusing. Si India yang duduk di sebelahnya tidak mengomel malahan cuba untuk makan bosou @ jeruk itu juga. Kalau dia tidak berkenan dan mahu muntahkannya, muntahkanlah. Akhirnya si Dusun ketawa terbahak-bahak, tiada sekelumit pun dalam hatinya dalam otaknya berfikiran bahawa si India itu kurang ajar atau tidak menghormati makanannya. Sudah dia tidak mahu apa mau dipaksa? malahan perkara ini jadi bahan usikan dan jenaka tanda kepada sikap toleransi dan persaudaraan yang tinggi pada diri orang-orang Sabah — saya katakan dahulu dan sekarang itu sikap ini makin terhakis, makin terkikis.

RUMAH TERBUKA MALAYSIA – bunyinya pun sudah cukup gah. Hari Raya, Hari Deepavali, Hari Gong Xi Fatt Choi semua pun kerajaan buat Open House! meriah kerana bermacam2 bangsa dan agama ada di sana dan lebih meriah kerana banyak jenis makanan ada di Sana. Kalau kita meletakkan ini sebagai tanda aras kepada kejayaan kita dalam menyatukan kaum-kaum di Malaysia, kita sebenarnya salah. Kalau betul mahu menguji silakan jemput untuk beraya di rumah. Sudah tentu orang Melayu tidak akan makan dengan piring, gelas, sudah, garfu etc. yang orang Cina atau India gunakan sehari-hari di rumah walaupun alat-alat makan ini sudah di samak berkali-kali oleh Imam. Tidak akan minum daripada air yang dibuat dijug yang diguna sehari-hari di rumah, takut bekas itu pernah diisi dengan bir atau todi. Akhirnya bila orang Cina atau India mahu menjemput Melayu ini, mereka hendaklah sediakan air botol mineral atau air berkarbonat dalam botol, gelas2 dan piring2 baru atau kertas etc. Makanan yang disediakan haruslah dipesan daripada caterer @ catering jika tidak mereka tidak akan makan. Nah, barulah di sini kita melihat sejauh mana sikap toleransi, keterbukaan dan penerimaan itu berjalan. Adakah kita benar-benar sudah menerima bangsa lain? akan tetapi cubalah bertandang ke pesta-pesta di kampung mana-mana pun di Sabah, saya jamin perkara ini tidak akan berlaku atau hanya sipi-sipi berlaku.

Sungguh merugikan apabila kita masih tidak boleh menerima bangsa-bangsa lain atau penganut-penganut agama lain sepenuhnya di Malaysia. Saya bersyukur kerana di Sabah kita dilimpahi oleh perasaan kekitaan yang cukup tinggi (walaupun saya tidak boleh menjangkakan dengan tepat bila semua ini akan hilang) tapi sekurang-kurangnya sehingga sekarang ia masih bertahan walaupun sudah mula terhakis. Di Sabah penduduknya membiarkan perasaan kekitaan, persaudaraan dan penerimaan kepada bangsa dan agama lain itu tumbuh dengan sendiri tanpa perlu dipaksa-paksa atau di canang di sana-sini. Kerja yang perlu dilakukan adalah menyiram dan membaja perasaan itu, biar ia tumbuh dengan subur merimbun. Terlalu mendesak bangsa dan agama menerima satu sama lain cuma akhirnya akan menyemai perasaan kekitaan dan persaudaraan yang palsu dan terpaksa — kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Belajarlah daripada Sabah dan Sarawak yang telebih dahulu makan garam dalam perkara ini.

No More Racist!

Comments
  1. Anak Timorese Sabah says:

    Kesemua penulisan tuan agak baik dan menarik..Syabas saya ucapkan dan semoga sentiasa mendapat ilham untuk terus menulis…agar ianya dapat menjadi renungan generasi muda Sabahan

    • kaijg3207 says:

      Terima kasih atas sokongan tuan. Saya sengaja memilih topik2 yang ringan dan senang untuk difahami dan dihayati. Saya x suka menulis isu-isu yang berat dan memerlukan statistik data.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s