Musim Hujan di Borneo

Posted: January 11, 2011 in Uncategorized

Musim hujan tiba lagi di Borneo. Biasanya ia akan bermula pada bulan November sehinggalah pada akhir February atau awal March setiap tahun. Tapi itu pada waktu dahulu, ketika itu bumi ini masih rajin mengurus dirinya. Sekarang ‘jadual’ ini sudah tidak boleh dipercaya lagi. Semasa kecil dahulu, saya paling suka bila tiba musim hujan kerana ia membolehkan saya membuat kerja yang saya suka atau tidak membuat kerja yang saya tidak suka. Dahulu, kalau musim hujan sahaja sungai Sugud dan Mituoh di kampung saya akan naik ke paras luar biasa. saya kecut apabila melihat arus deras dengan ombak besar menerjah tebing sungai. Tapi di situlah bapa saya selalunya akan membawa saya untuk memancing dan selalunya ikan yang mengena adalah jenis yang tidak bersisik seperti ikan keli, sembilang dan belut. Tidak terkecuali labi-labi dan saya memang suka apabila di bawa pergi memancing.

Ibu saya pula panjang muncungnya kalau musim tengkujuh datang. Saya fikir dia ketagihan bekerja di bendang. Sehari dia tidak kerja dia akan demam-demam, betul-betul macam orang ketagih heroin. Dia orang Sarayo yang terkenal dengan kerajinan mereka. Dia orang Lobong-Lobong, jaguh di tanah tinggi. Tanyalah siapa-siapa yang pernah ke kampung ini, mereka akan kata “ya — memang orang di sini rajin-rajin belaka”. Dari Kiau ke Gahui ke Lobong-Lobong ke Kaung! mereka ini adalah’Superman’ di tanah tinggi. Saya pernah bertanya kepada ibu saya kalau dia mahu lagi menetap di kampungnya dan dia kata tidak. Dia kononnya sudah terbiasa dengan tanah landai di Kg. Timbua. Betul-betul sekarang dia sudah ‘murtad’!

Kemudian, apabila hujan sudah turun berhari-hari mestilah ada beberapa tempat di Malaysia ini akan banjir. Dulu bila hujan sahaja dan kita merungut, kawan kita di sebelah akan berkata “hujan itu rahmat, kenapa mengeluh?”. Tapi bila hujan semakin lebat dan bajir adakah dia akan masih bercakap itu adalah rahmat? sebagai seorang manusia yang ego dia akan berkata “apa yang terjadi, ada rahmat disebaliknya”. Percayalah dia tidak akan bercakap itu adalah bencana alam — inilah manusia. Bila musim kemarau pula orang bising juga, membebel setiap hari kerana cuaca panas, tanaman menjadi kering, tidak ada air dan macam-macam lagi sehinggakan tuhan sendiri ‘tidak senang’ duduk. Kalau tuhan itu bukan yang maha menyayangi, mengasihi dan mengampun saya fikir sudah lama dia turunkan petir di kepala kita, tepat di ubun-ubun.

Pada tahun 1980-an dahulu, bila tiba sahaja waktu hujan maka murid-murid sekolahlah yang akan sengasa. Satu sebab kasut mereka tidak akan pernah bersih, kedua tidak akan pernah kering dan ketiga — mereka akan dimarahi oleh guru kerana berkasut kotor ke sekolah. Jadinya ‘adidas kampung’ yang berwarna putih menjadi pilihan sebab ia kalis air dan kalis kotor. Lihat bertapa besarnya sumbangan kasut ‘adidas kampung’ ini kepada rakyat di Malaysia.

Pada musim hujanlah macam-macam perkara akan berlaku. Jalan runtuh, jambatan putus, banjir — dan semuanya di sini dan di sana. Maka mana-mana yang pemalas itu mula memasang angan-angan untuk menjadikan ini sebagai alasan untuk lambat balik dari bercuti, tidak dapat datang kerja, tidak pergi ke sekolah dan macam-macam lagi. Budak-budak sekolah dari awal sudah diajar menculas oleh ibu-bapanya ” anak kau kasi tau itu cikgu bilang, jambatan kampung kita putus jadi saya tidak dapat pigi sekolah” ! maka jadilah si anak ini seorang pembohong. Walhalnya bila masa pula ada jambatan di kampungnya — dan semua di atas itu hanyalah contoh. Manusia bijak mengambil kesempatan atas apa-apa yang berlaku di sekelilingnya dan tentu sekali untuk kepentingannya.

Berbalik kepada hujan, ya pada musim inilah kita akan melihat orang yang tidak pernah prihatin akan menjadi prihatin. Dia akan sibuk ke sana-sini mengagihkan derma atau sumbangan. Dia tulis di label besar-besar “Sumbangan Ikhlas daripada XXXX”! dia akan berikan sumbangan itu dengan disaksikan oleh berpuluh-puluh orang press. Besok mukanya akan keluar di akhbar atau TV sebagai seorang yang pemurah. Manusia betul-betul adalah binatang yang pintar, dia akan mengambil kesempatan atas musibah yang menimpa orang lain.

Kepada penorah getah dan nelayan, musih hujan atau tengkujuh adalah bencana. Sementara bagi petani yang sentiasa mengharapakan hujan untuk menyuburkan tanaman serta orang kampung yang masih bergantung kepada air hujan untuk terus hidup, ia adalah rahmat. Saya katakan bahawa, hujan ini adalah satu betuk ‘pembetulan’ yang dilakukan oleh tuhan untuk menyeimbangkan alam supaya manusia terus hidup seperti yang sepatutnya. Hujan atau kemarau — ia tidak akan memberikan apa-apa beza sebenarnya dan ia hanyalah satu hari lagi yang perlu kita tempuhi dan hadapi dengan tabah dan ceria.

Leave a comment