Ronda-Ronda Di Kampung

Posted: December 30, 2010 in Uncategorized

Setiap kali cuti saya mesti ambil kesempatan untuk buat ‘rondaan’ tidak berbayar di kampung saya, lebih tepat lagi di Mukim Timbua. Saja untuk melihat suasana dan kemajuan kampung? oh! bukan kemajuan tapi cuma perubahan. Dulu saya cuma berpusing dari Kg. Tebut – Kembiroi – Merungin 1 dan 2 – Wiha – Damai Masin dan balik ke Tebut semula. Sekarang saya sudah pandai pusing dari mukim Timbua – Pinampadan – Tumbalang balik ke Tibabar – Daramakan – Togop – Lampaki – Pinawantai – Tarawas – Tinutuan dan balik semula ke Timbua. Semuanya dilakukan kurang dari 2 jam. Itu pun masih sempat ke Kinabalu Park sub-station Monggis.

Seronok melihat tanah sawah dulu yang bergunung-ganang dan penuh dengan semak-samun akhirnya dibersihkan dan diratakan. Semuanya atas inisiatif kerajaan pada masa era Pak Lah untuk menambah pengeluaran produk makanan negara. Jangan kamu tidak tahu, Sistem pengairan dan saliran di Kg. Timbua adalah yang terpanjang di daerah Ranau. Siapa tahu sawah padinya juga lebih luas dari mana-mana kampung. Dulu masa saya balik ke kampung kerja-kerja meratakan sawah padi itu memang rancak berjalan, tapi sekarang ini traktornya sudah tidak bergerak. Apahal? saya dengar peruntukan sudah habis. bagaimana pula boleh habis sedangkan peruntukan itu sudah dikira untuk projek ini? jangan mereka tinggalkan sawah padi yang mereka sudah ‘rosakkan’! mereka mesti siapkan semua kerja sebelum kontraktor ini keluar. Jika tidak, saya bawa orang kampung ramai-ramai ke rumah Menteri atau YB yang berkenaan untuk minta makanan! khabarnya jika tanah sawah ini sudah diratakan, kerajaan akan ‘mengambil alih’ sementara sawah ini sehingga kos untuk meratakannya mereka dapat semula. Tapi agak sakit juga hati orang-orang kampung apabila sulap-sulap dan pokok buah-buahan di sekitar sawah diratakan sekali. Tidak ada lagi tanah darat yang orang kampung ini hendak membuat sulap, semuanya rata sama sekali. Bukankah baik jika ditinggalkan sedikit tanah tinggi untuk dibina sulap nanti?

Kalau difikirkan memang bagus juga kerajaan ratakan tanah sawah ini. Bukannya senang untuk meratakan sawah padi ini dengan tangan kosong. Tanah paya di sebelah bawah kawasan perkuburan sekarang ini pun sudah terang-benderang. Kawasan yang dipanggil “Tuwik” ini paling ditakuti orang kampung, biasalah orang kampung kalau nampak tanah paya sikit sudah mengaitkannya dengan macam-macam yang tidak sedap didengar ialah, kawasan perkuburan yang sudah dirizabkan itu pun diratakan juga sebagai tanah sawah — dan tidak ada pun orang yang membantahnya terutamanya AJK kubur kampung. Hanya berbisik sesama sendiri, hanya itu sahaja tanda tidak setuju atau protes yang mereka mampu lakukan.

Dahulu semasa kerajaan masih lagi rajin, mereka sendiri yang akan membersihkan saliran sawah padi ini, tidak kira berapa panjang atau jauh mereka akan buat sendiri. Sekarang ini kerajaan semakin malas, dan untuk membersihkan selut dan lumpur-lumpur di parit ini mereka suruh orang lain yang buat — mereka bukakan tender. kerja-kerja memotong rumput demikian juga. Dahulu pada tahun 1980an sehingga awal 1990an kawasan kiri-kanan parit ini sangat cantik, rumput dipotong kemas dari atas ke bawah, hujung ke hujung. Sekarang ini rumput atau semak kiri-kanan parit lagi tinggi dari kereta. Suasana parit ini dahulu sangat indah untuk dikenang, sungguh! Malahan tidak keterlaluan jika saya katakan ia adalah lokasi pilihan yang baik untuk berkelah atau sekadar mandi-manda. Bila masalah parit ini akan kembali cantik seperti dahulu dengan cara tender?! ada duit ada kerja, tiada duit tiada kerja. Sudahnya kerja-kerja pembersihan hanya dilakukan dengan ala kadar sahaja apalagi duit peruntukkan dahulu katakanlah berjumlah RM10,000 sekarang sudah menjadi RM5000. Semuanya kerana kontraktor meng’Ali Baba’kan projek. Bila kontraktor ini disenarai-hitamkan oleh kerajaan, mereka mula bising kerajaan tidak menolong bumiputeralah, hanya memajukan orang Cinalah dan entah apa-apa lagi. Amanah yang sudah diberikan oleh kerajaan hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab.

Saya fikir orang kampung sudah tidak begitu mengharap apa-apa pertolongan daripada kerajaan. Lagipun apa yang kerajaan boleh buat kepada orang-orang kampung dam memajukan taraf sosio-ekonomi mereka? kerajaan boleh bercakap itu dan ini, bercakap tanam itu dan ini sebab kononnya ia berpotensi tinggi dalam pasaran. Tetapi banyak mana kerajaan membantu? Bila orang kampung ingin memulakan projek, mereka perlukan modal. Orang kampung mana ada duit? rezeki sehari-hari dikais. Sudahnya orang kampung cuba beralih kepada MARA, kepada Bank Pertanian atau AGRO bank sekarang untuk mendapatkan modal. Tetapi apabila mereka disuruh menyediakan geran tanah atau geran rumah atau sebarang jenis geran disediakan, mereka terpaksa menikus. Orang kampung mana ada ini semua? tanah yang sudah dipohon dan diusahakan berpuluh-puluh tahun masih berstatus LA, geran tidak pernah dikeluarkan oleh kerajaan. Kalau tidak ada dokumen itu semua, mereka masih boleh meminjam tapi bank akan ‘mencekik’ mereka dengan bunga yang tinggi. Siapa berani? “kerajaan memerlukan usahawan-usahawan yang bersedia menanggung risiko” — wah cakap senanglah. Jadinya di negara kita yang tercinta ini, yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s