Rezeki Daripada Tuhan

Posted: December 19, 2010 in Uncategorized

Menjadikan kita sebagai mahasiswa dan keluar sebagai graduan belum tentu akan menjamin yang kita akan mendapat kerja yang baik-baik dan boleh pula menjamin masa depan kita. Banyak graduan kita di luar yang masih menganggur, umur pula semakin tua. Kata orang “ikut seperti orang Cina, asalkan tahu mengira dan membaca, cukup!” Mungkin betul, taukeh-taukeh Cina sekarang bukan semuanya berpelajaran tinggi — cukup makan sahaja. tetapi yang menjadi ‘hambanya’ adalah yang berpelajaran tinggi-tinggi! yang bersekolah tinggi2 ini terpaksa memanggil si Apek dengan gelaran Boss!. Sehari-hari dicanang hanya pelajaran yang boleh mengubah nasib kita — itupun betul juga dan tiada sesiapa menafikannya. Tapi apa yang lebih penting selain daripada berusaha? campur sikit dengan peluang dan rezeki anda akan menjadi JUTAWAN. Pada zaman yang moden ini, tiada ada apa yang lebih penting daripada duit! tetak p*7^r saya kalau ini salah.

Keluar sahaja daripada universiti, saya terus menganggur. Nasib baik ada tanah sekangkang kera yang boleh diusahakan. Jadilah saya petani berijazah pada masa itu. Saya tidak kisah pun, asalkan ia membawa hasil apa salahnya. Selama 8 bulan saya mengusahakan tanah kecil itu sehinggalah saya ditawarkan pekerjaan oleh seorang hamba Allah yang cukup saya sanjungi dari dahulu. Apa tidaknya semenjak dari kecil saya sudah disogok oleh orang tua saya dengan cerita-cerita kejayaan hamba Allah ini. “Jadi macam si Anu, belajar rajin dan tinggi-tinggi” dan hamba Allah ini menjadi idola saya dan sekarang menjadi penanda aras kepada karier saya. Saya harap satu masa nanti saya boleh menggantikan tempatnya. Wahahaha — siapa tahu kan? Saya bukan membodek hamba Allah ini, tapi saya tahu sangat pencapaiannya. Saya fikir dia berpuluh kali lebih baik daripada YB2 yang kita ada sekarang, kenapa bukan dia saja yang masuk menjadi calon? Satu hari saya terbaca dalam internet tips2 menjawab soalan penemuduga. Kau tau kalau ditanya apakah matlamat jangka panjang kita? jangan jawab “saya berharap supaya satu masa nanti saya akan menggantikan tempat anda?” kompom anda tidak akan diambil bekerja sebab anda telah mencabar dan cuba merampas kerjayanya — walaupun itu mungkin jawapan yang patut dan benar. Tapi siapa yang mahu mengambil calon pekerja yang boleh menggugat kedudukannya. Bodoh dan palui! penemuduga itu ingat kerja dia itu dia boleh bawa sampai mati! bersyukurlah sebab ada calon yang boleh berkata begitu. Kalaupun dia tercabar itu kerana memang dia tidak yakin dengan kebolehannya atau memang dia tidak layak berada ditempatnya. Kenapa harus mencantas orang ini hanya disebabkan dia lebih bagus daripada ketuanya atau bakal ketuanya? Sampai bila kita harus mengambil pekerja yang ‘membuntut’ saja kerjanya, yang all the time kata “yes boss”? Adakah anda mahu menaikkan gaji atau pangkat pekerja itu kerana dia memang pandai bekerja ataupun kerana dia rajin membasuh tangan anda, menarik karpet untuk anda pijak?! wallahualam.

Dipendekkan cerita, saya akhirnya bekerja di hutan. Saya menjadi ‘orang hutan’. Saya memang impikan untuk bekerja seperti ini dari kecil lagi — saya suka hutan. Tapi apa yang saya belajar di universiti dulu ternyata sungguh berbeza. Tapi tidak apalah, practice makes perfect, syukurlah ada orang yang memberi laluan kepada rezeki kita. Mulanya saya tertanya-tanya kenapa kita perlu menjaga hutan ini? kenapa perlu mengekalkan hutan ini? kalau di kampung kita bercakap soal menjaga hutan, saya fikir kita sudah lama dilanyak oleh orang kampung. Tebal telinga kita mendengar ” bah kalau kau tidak kasi benar kami tebang pokok, kau kasi kami beraslah”.  Mau jawap apa? Di sini, saya melihat pokok balak yang besar2, di Kg. Timbua, saiz besar baldi pun orang tibai! Itulah senarionya. Kadang – kadang manusia menebang pokok sebab mereka tidak ada pilihan, tetapi ada juga yang menebang pokok sebab mereka mahu — mahu kaya atau mahu bertambah kaya. Saya harap orang-orang di Timbua ini termasuk dalam kes yang pertama. Ada juga saya bercerita dengan orang kampung kenapa Payau atau binatang segala itu ditembak? bukankah lebih baik ia dibiarkan? ataupun bukankah lebih baik buat “pemburuan bermusim”? mereka menjawab tuhan jadikan binatang itu untuk dimakan oleh manusia. Tapi bintang makin pupus kan? Dahulu kalau mereka memburu pelanduk tidak payah masuk ke hutan berbatu-batu, cukup dekat2 sahaja. Kalau rezeki bagus dapatlah pelanduk yang besar — apa namanya — Tragulus Napu? Pasal itu, mereka setuju. Orang tua-tua dulu cukup bangga bila menceritakan pengalaman berburu mereka ketika muda. Ada satu orang tua yang selalu datang ke rumah saya di Timbua dahulu, dia akan bercerita dengan bangga bagaimana dia telah membunuh lima ekor Sarampak — atau Badak Sumatera ketika mudanya. Kogiu pula tidak terkira. Jadi saya katakannya, sebab dialah badak sumatera sudah tidak ada di hutan Timbua sekarang, sebab dialah tidak ada lagi orang utan di Timbua sekarang. Cucu-cucunya sekarang tidak pernah lagi melihat binatang-binatang ini, padahal kita boleh buat duit dengan membawa orang putih melihat binatang ini di sini. Dia diam tidak manjawab tapi pada akhirnya dia berkata “ya memang bodoh — bodoh sekali.”

Benar kata orang, bila kita sudah rapat dengan alam kita akan mengasihinya. Kerja ini benar-benar mengajar saya menjadi manusia yang sukakan alam. Sesungguhnya juga, jika kita berbakti kepada alam, alam akan membalas kembali budi baik kita. Apa salahnya kita membiarkan hutan-hutan atau pokok-pokok ini membesar. Sanggupkah kita ‘membunuh’ hutan belantara ini yang telah memberikan kita kehidupan? Kalau tidak pun, ambillah apa yang patut sahaja. Berbeza pula dalam mencari pekerjaan, Ambillah apa sahaja peluang yang ada dan jika kau mendapat pekerjaan yang bagus yang sesuai dengan kelulusan maka itu merupakan satu bonus. Jikalau pun kau mendapat kerja yang jauh lebih rendah daripada kelulusan kau, ambil saja dan jangan bersusah-hati. Rezeki itu tuhan yang tentukan (walaupun sebenarnya ia bergantung daripada usaha kita). Kita cuma mengharap satu masa nanti rezeki kita akan berubah lebih baik. Cuma kita jangan terlalu memilih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s