Survival of The Fittest!

Posted: December 6, 2010 in Uncategorized

Pada 1977 saya lahir di Hospital Ranau, setelah hampir 10 bulan (saya tidak berbohong– sebab itulah yang diceritakan oleh Ibu saya) berada di dalam kandungan. Cukup lama bertapa di dalam rahim ibu sehinggakan air di dalam ketuban sudah menjadi hijau oleh sebab lumut ataupun oleh sebab tahi saya. Lihat, di dalam rahim pun saya sudah merasa tahi dunia. Nasib baik tahi saya sendiri, bukan “tahi2” orang lain seperti sekarang. Sebab itulah saya hampir dipanggil si “Getuoh” atau si Tua, sebab tua dalam kandungan. Saya kurang ingat apa yang terjadi pada 5 tahun pertama hidup saya. Pada masa itu tiada pun orang yang kisah apa budak 5 tahun lakukan sehari-hari. Masa itu tidak ada PERMATA macam sekarang.

1984 saya fikir sebagai tahun keramat sebabnya pada tahun inilah saya mula bersekolah, sebelumnya saya pernah bersekolah Tadika di kg. Lohan Ranau. Saya masih ingat bagaimana kami cuba memanjat dinding-dinding kayu Tadika itu (yang sebenarnya adalah kedai lama) untuk melarikan diri. Sekarang jika saya balik ke Kg. Timbua, saya akan menyempatkan mata saya untuk mengerling deretan kedai tersebut yang sekarang saya fikir sudah tumbang. Pada awal 80an, ABM atau alat bantu mengajar tersangatlah daif. Alat muzik kami (drum) hanyalah diperbuat daripada tin lactogen yang besar yang ditebuk dikedua-dua hujungnya dan dipasangkan dengan plastik dan diikat dengan getah lengan. Bunyinya memang tidak sedap, tapi saya fikir hanya itu yang kerajaan mampu lakukan pada masa itu.

Mungkin ada yang terfikir bagaimana seorang “Panansawa” atau “Orang Dari Bawah” seperti saya boleh bersekolah di Kg. Lohan? Saya adalah seorang anak kepada lelaki yang “melarikan” diri dari kampung dan kerana hendak mencari rezeki yang lebih di Lombong MAMUT (yang sekarang sudah ditutup — dan dibazirkan).  Bapa saya yang kemudiannya berkahwin dengan ibu saya dan menjadi penduduk sementara di kg. Lohan dan menetap bersama-sama dengan beberapa keluarga lain lagi yang juga berasal dari Sawa atau “Dari Bawah”. Inilah yang diceritakan oleh ibu-bapa saya dan saya percaya mereka tidak akan berbohong kecuali jika mereka terdesak atau ada kepentingan. Kemudian orang dari bawah ini menumpang belas kasihan daripada Bapak Mohd. Ali (yang mana saya percaya adalah salah satu penyebab yang besar mengapa orang-orang Dusun di Ranau sekarang beragama Islam) di rumah kebunnya/sawahnya.

Kebanjiran orang-orang dari bawah ini ternyata menjengkelkan sebilangan orang. Sehinggakan pada masa itu orang dari bawah ini dianggap hina. Perkataan “panansawa” itu sendiri pada masa itu adalah satu yang dianggap jijik dan hina sekali. Mereka dianggap seperti lipas yang merayap mencari makanan, jika kedapatan maka akan dipinjak dan dilenyek sampai lumat tidak bersisa. Ternyata selepas 30 tahun istilah ini masih kedengaran keluar dari mulut sebilangan orang-orang “Sarayo” atau “Orang Dari Atas” yang berfikir mereka lebih baik daripada orang dari bawah. Padahalnya, di panansawa anda hanya perlu mencangkul sekali sahaja untuk mencari makanan dan dua kali seperti orang-orang dari atas ini kerana ternyata bumi panansawa ini lebih bertuah dan dirahmati oleh tuhan. Sekarang, sudah ada orang-orang dari atas yang berkahwin dengan perempuan-perempuan dari bawah. Rupanya rasa P*&i itu sama sahaja, tidak kira bangsa dan asal-usul. Dan sungguh memalukan apabila perempuan-perempuan dari panansawa ini tidak memulangkan paku buah keras kepada lelaki-lelaki dari atas ini yang mahu berkahwin dengan mereka. Kerana tidak mahu kedapatan sebagai orang dari bawah, ada di antara pemastautin sementara ini dengan tidak malu mengaku saudara kepada orang ini dan itu. Sehingga sekarang, keturunan-keturunan orang ini masih segan mengaku yang mereka berasal dari bawah. Sangat menjijikkan!

Bapa saya seorang yang bacul dan penakut — bila sahaja Ketua Kampung Timbua mengancam untuk menyerahkan tanah miliknya kepada orang lain jika tidak kembali ke Kg. Timbua untuk mengusahakan tanah itu, bapa saya cirit-birit berlari balik ke kampungnya. Tapi tindakannya itu pada sekarang saya sedar adalah yang paling tepat — jika tidak saya mungkin tidak berada pada tempat saya sekarang. Jika tidak saya mungkin masih panansawa yang bertopeng sarayo, jika tidak mungkin nasib keluarga saya tidak berubah. Pada hari ini, saya bangga sebab saya telah berjaya mengubah peratusan yang kecil persepsi orang sarayo dan orang luar terhadap orang panansawa dan saya percaya ia berubah semakin besar dan hari ke hari.

1984 adalah tahun pertama di mana budak-budak sekolah tahun 1 akan disuntik. Saya tidak terkecuali, saya berdiri keras menunggu disuntik dibahu. Ada seorang guru yang cuba memujuk saya supaya tidak menangis dengan bertanya apakah cita-cita saya apabila besar kelak — dan jika saya boleh menahan suntikan tersebut saya akan menjadi askar! b*&i hutan! kenapa saya tidak didorong menjadi seseorang yang lebih hebat? doktor? peguam? arkitek? engineer? kenapa hanya askar? saya tidak katakan kerja askar itu rendah tarafnya, tetapi hakikatnya menjadi doktor atau apa-apa yang saya sebut di atas adalah lebih baik. Itulah mentaliti guru-guru dahulu, dan pada masa sekarang jenis-jenis guru ini sudah tidak boleh dipakai dan hanya layak berada di tong sampah!. Seperti kebanyakan budak miskin yang lain, saya ke sekolah hanya dengan seluar pendek belang-belang dan sekeping buku, pensel, pemadam, penajam dan pembaris yang diisi di dalam beg plastik atau “bahai”. Saya pernah dimarah kerana berpakaian begitu, apa yang saya boleh lakukan? hanya itulah daya keluarga saya. Mungkin cikgu ini tidak ada fikiran, mungkin dia fikir bapa saya bergaji bulan sepertinya. Guru yang masih mahu dihormati dan disanjung jasa mereka walaupun mereka dibayar untuk mengajar. Bercakap serupa mereka membuat kerja-kerja kebajikan yang tidak berbayar!.

Pada masa itu, anda akan dilantik sebagai pengawas sekolah sekiranya anda mempunyai pakaian sekolah yang lebih cantik atau bersih daripada pelajar lain. Anda akan dilantik sebagai pegawas sekolah jika sekiranya ibu-bapa anda bergaji bulan. Jika ibu-bapa anda miskin, jangan harap anda akan dilantik ke jawatan tersebut sekalipun anda bijak, pintar tahap dewa. Jika anda pintar dan kaya — ceritanya akan bertambah menarik. Anda mungkin dilantik sebagai tokoh murid.

Pada tahun 1986 kalau saya tidak silap,YB Datuk Maynor Ginggor masuk ke Timbua. Orang politik ini adalah keluaran parti yang porpular sekitar 70an dan 80an iaitu BERJAYA, yang sekarang sudah terkubur sama dalam dengan fosil2 dinosaur. Masuk ke kedai lama Timbua masa itu (yang saya sudah tidak ingat kedai siapa), menukar duit kertas kepada syiling 20 sen dan mengagihkannya kepada budak2 sekolah termasuk saya. Walaupun mungkin sumbangan itu kecil, tetapi pada kami/saya pada masa itu sangat besar. Pada masa sekarang jika saya berpeluang untuk berjabat-tangan bersalaman dengan beliau, maka saya akan lakukan. Tidak banyak orang-orang politik di Ranau seperti beliau yang mempunyai keprihatinan secara langsung kepada murid-murid sekolah sekarang.

Pada waktu dahulu, adalah kebiasaan kepada ibu-bapa untuk menyuruh anak-anak mereka menyusul ke bendang/sawah selepas waktu sekolah. Saya pun tidak terkecuali, ibu-bapa pada masa itu sangat pintar untuk ‘memaksa’ anak-anak mereka untuk menyusul di bendang/sawah. Dalam kes saya, kedua ibu-bapa saya tidak akan meninggalkan sebutir pun nasi di dalam periuk untuk makan tengahari kecualilah kalau saya menyusul mereka di bendang. Saya tiada pilihan lain, dalam keadaan ‘tenat’ kebuluran saya paksakan diri ke sawah padi. Kalau ada pun pisang masak setandan di rumah, mereka akan gantung tinggi-tinggi di alang rumah supaya saya tidak boleh mengambilnya — sangat kejam. Saya fikir saya telah lakukan dengan baik selama 6 tahun saya bersekolah di Sk. Timbua. Tidak sekalipun dalam 6 tahun itu saya tidak mendapat hadiah kecemerlangan akademik. Malangnya pada peperiksaan UPSR pada tahun 1989 saya gagal mendapat keputusan yang baik. Kesimpulannya apa yang mereka ajar jauh lebih rendah daripada apa yang akan disoal di dalam peperiksaan. Siapa salah? Walaupun saya baik dalam akademik tetapi tidak dalam sukan. Malahan gelaran Kaki Bangku adalah terlalu sinonim dengan saya pada masa itu. Seorang guru perempuan mula memanggil saya sebagai si Kaki Bangku ketika saya berumur 10 tahun, tahun 4 atau tepatnya pada tahun 1986. Saya katakan sekarang, nasib baik saya menjadi kaki bangku, jika tidak saya mungkin tiada beza dengan kawan2 saya yang lain, yang pandai bermain bola tetapi akhirnya tidak membawa mereka ke mana-mana.

Pada hujung tahun 1989 saya meninggalkan Sk. Timbua, dengan macam-macam pengalaman. Walaupun tiada apa2 yang istimewa di Sk. Timbua, tapi di sini saya nampak dengan mata kepala sendiri bagaimana guru lelaki mengambil kesempatan mencabul kehormatan pelajar perempuan dengan mencubit hujung payu-dara mereka jika gagal menjawab soalan cikgu lelaki miang tersebut. Di sini juga saya tahu bagaimana kurang-ajarnya guru-guru lelaki Melayu dari Semenanjung memanggil murid-muridnya dengan nama bapa mereka  — yang akhirnya saya komplen dan dia dipindahkan kembali ke Semananjung. Saya masih ingat bagaimana mukanya berubah menjadi terlalu kasihan sebelum berangkat ke Semenanjung. Dia katakan orang-orang Arab memanggil orang lain denga nama bapa mereka, apa dia fikir anak-anak Dusun ini adalah orang Arab? inilah akibatnya jika anda bercakap dengan mulut di bawah dan bukan mulut di atas. Padan mukanya!

Comments
  1. gaman says:

    best baca kisah2 lalu nie….kalau bole share2 lah cita masa tuan di ITM (uitm) sbb sy akan sambung belajar di uitm semenanjung….sy ni org sabah juga

Leave a reply to gaman Cancel reply