Selamat Datang 2015!

Posted: January 10, 2015 in Uncategorized

Assalamualaikum, selamat sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Agaknya sudah terlalu lama saya tidak mengemaskini blog ini, sudah hampir setahun. Bukannya apa, saya terlupa passwordnya. Siang malam berfikir dan mengingat apa ‘bendanya’ password yang saya pasangkan dan barulah pagi tadi saya berjaya. Masih boleh pakai lagi rupanya otak kepala saya yang berharga RM21K ini (harga PTPTN). Banyak issue yang saya rasa perlu diketengahkan dan haruslah difikir baik-baik yang mana satu. Jika tidak blog ini akan menjadi ‘sampah’ macam blog lain.

Anjakan Pemikiran Politik

Posted: September 29, 2011 in Uncategorized

Setelah bersetuju untuk berjuang dalam salah satu parti politik tempatan Sabah, hati saya selalu tertarik-tarik untuk lebih banyak menulis dalam lapangan ini. Bukan hanya kerana saya perlu menegaskan kepada umum tentang tujuan perjuangan politik saya, tetapi juga dalam masa yang sama jika boleh ingin mengajak rakyat-rakyat Sabah yang lain agar sama-sama memikirkan dan mendiskusi secara mendalam dan panjang lebar lapangan ini.

Kita tidak boleh memandang ringan subjek ini. Kita tidak boleh sekadar memilih dan memangkah kertas undi mengikut  kesukaan dan keringanan hati kita. Tidak begitu! hidup kita sehari-hari adalah berkait dengan politik. Pada pendapat saya politik menghuni tangga tertinggi dalam keperluan sesebuah negara dan selepas itulah baharulah ekonomi, pendidikan, budaya, keselamatan dan pelbagai yang lain menyusul. Negara itu tidak dianggap sebagai negara yang bertamadun jika sekiranya tidak ada sistem yang membolehkan negara tersebut di tadbir! dengan kata lain jika sekiranya tidak ada politik atau sistem pemerintahan. Bila sahaja sistem politik terganggu, maka sistem-sistem lain yang disebutkan tadi barulah akan terkacau sama. Politik menentukan bagaimana nanti kita mentadbir sistem ekonomi kita, sistem pendidikan kita, sistem budaya kita, sistem sosial kita dan sebagainya. Kita tidak perlu menjadi seorang politikus untuk memahami maksud ini.

Rakyat Malayia (di Sabah khususnya) masih terlalu jahil dengan politik sebelum Sabah diduduki oleh orang-orang Inggeris. Orang-orang bumiputera iaitu orang-orang Dusun, Murut, Sungei, Rungus, Bajau etc. saya kira mahu memahami kenapa kemaluan mereka perlu ditutup dengan kain sebenar dan bukannya cawat pun sudah payah, apatah lagi untuk memahami apa itu politik! jika mereka ada Ketua Kampung itu sudah cukup. Bila mereka tidak diganggu berpadi bukit atau bersawah padi itu sudah cukup. Bila orang luar daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara masuk ke Sabah ‘membantai’ peluang-peluang ekonomi orang-orang Sabah, orang-orang bumiputera ini masih berdiam diri. Tidak sedar bahawa tanah tumpah darah mereka dan nenek moyang mereka sedang di ratah oleh penjajah. Biarkanlah kata mereka, selagi tapai di tempayan tidak dikacau, kenapa mau sibuk dengan orang-orang berkulit putih dan berhidung mancung itu?

Bila Rundum, Antanom, Mat Salleh sudah mula memberontak maka perlahan-lahan jiwa patriotik (yang mencambah pemahaman politik yang lebih baik) tumbuh. Orang-orang kita mula faham kepentingan untuk menjaga negeri kita. Kepentingan untuk menjaga sumber ekonomi yang ada, menjaga budaya dan sosial yang ada dan pelbagai lagi. Masuk Tun Fuad Stephen, masuk lagi Tun Mustapha — kedua-duanya membawa satu dimensi dan persprektif politik baru kepada orang-orang bumiputera Sabah. Sudah tentu kesedaran politik bumiputera Sabah semakin meningkat. Sekarang mereka sudah tahu bahawa barang sulit mereka itu lebih baik ditutup dengan seluar ketimbang cawat.

UNKO masuk, USNO masuk. Semua ini parti-parti politik yang lahir di Sabah lama dahulu tapi saya percaya kedua-duanya sudah terkubur sama dalam dengan fosil-fosil dinosaur sekarang. Pada masa itu amat sedikit bumiputera2 ini yang tahu kewujudan UMNO, yang tahu pun adalah golongan-golongan yang terpelajar sahaja. Mereka-mereka ini sentiasa sahaja berpeluang untuk mendapatkan maklumat-maklumat baru. Bila parti BERJAYA muncul, satu fenomena politik baru muncul di kalangan rakyat Sabah. Ajaibnya orang-orang Sabah tidak perlu masa yang lama untuk memahami apa itu politik (dan sudah tentu pada masa itu pemahaman mereka dalam politik ini hanyalah berkisar dengan isu-isu biasa yang berlaku di sekeliling mereka). Tapi satu perkara yang rakyat Sabah atau lebih tepat disebut sebagai bumiputera Sabah belajar dengan cepat ialah mereka ada kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri dengan memilih parti pemerintah yang difikirkan boleh membawa perubahan dalam segenap aspek kehidupan mereka. Mereka memilih BERJAYA untuk menumbangkan USNO. Banyak sebab kenapa USNO tumbang kepada BERJAYA pada masa itu dan salah satu sebabnya (yang paling nyata pada pendapat saya) ialah bumiputera Sabah sudah muak dan syak-wasangka dengan USNO. USNO memporak-porandakan hubungan kebangsaan dan keagamaan bumiputera Sabah tambahan pula mereka sukakan sesuatu yang baru dan segar.

Bumiputera Sabah atau pengundi tulin Sabah memang terkenal dengan perangai ‘suka menukar baju’. BERJAYA semakin lupa diri apabila sudah memerintah. Janji-janji dahulu kepada rakyat dilupakan. Manifesto-manifesto politik diabaikan. Kesusahan dan kesengsaraan rakyat tidak pernah diperhatikan. Kepercayaan rakyat kepada BERJAYA satu masa dahulu dikhianati! akhirnya sekali lagi rakyat bangkit akibat daripada dendam dan kebencian kerana dikhianati dan dibohongi. Pemimpin2 BERJAYA yang ‘berpandangan jauh’ pada masa itu seperti Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan beberapa orang lagi, angkat kaki dan buat parti baru. Mereka tahu benar bahawa parti2 politik ada ‘expire date’ atau tarikh luput di Sabah. Pairin keluar dengan parti baru iaitu PARTI BERSATU SABAH (PBS). PBS lahir tepat pada masa bumiputer Sabah ternanti-nantikan satu parti baru yang boleh mereka tunggangi dan harapkan untuk menumbangkan BERJAYA. Saya sendiri hanyalah budak hingusan pada ketika itu, tetapi lagu parti itu betul2 menusuk ke dalam kalbu, ke dalam hati dan terpahat kukuh di dalam jiwa dan pemikiran saya. Bumiputera Kadazandusun pada masa itu bersatu padu! bersatu hati! mereka ada bangsa majoriti di Sabah. PBS adalah parti kaum Kadazandusun, jadi walaubagaimana keadaan sekalipun PBS akan tetap memang asalkan sahaja mereka bertanding di semua kawasan yang majoritinya adalah orang-orang Kadazandusun.

Tahun-tahun berikutnya semasa PBS memerintah, tidak dinafikan bawah orang-orang KDM semakin maju ke hadapan tidak kira dari segi apapun kerana pada masa ini PBS menolong mereka serba-serbi. Tidak keterlalun kalau saya katakan bahawa ini adalah era KDM di Sabah. Minta pinjaman diberi, minta scholarship diberi, apply tanah diberi — jika sahaja kau berbangsa KDM (atau mungkin KD). Bila para pemimpin PBS sudah mula naik tocang, mereka sudah mula pandai membahagi KDM ini. Ada KDM non-muslim dan ada pula KDM muslim. Kalau dua orang KDM yang berbeza kelas duduk bersebelahan semasa interview sudah tentu yang diambil adalah KDM non-muslim. KDM yang muslim disuruh pergi minta tolong dengan USNO atau disuruh pergi ke UMNO. Sampai begitu sekali, tidak hairanlah bahawa PBS semakin hilang sokongan di kawasan-kawasan KDM yang majoritinya muslim. Apalagi di kawasan-kawasan yang sudah terang-terang majoriti pengundi adalah muslim dan non-KDM. Tahun demi tahun PBS semakin dibenci dan orang-orang oppurtunist dan yang sentiasa ‘melihat ke hadapan’ mengambil peluang bermain ‘lompat katak’. Dulu YB ini cakap dia sanggup mati sama PBS, sekarang dia sudah lompat pigi UPKO etc. Orang-orang muslim KDM dan non-KDM yang sudah meluat dengan PBS mengalu-alukan parti baru diwujudkan di Sabah atau masuk ke Sabah.

Datuk Harris Saleh (sekarang Tun) keluar dengan parti baru iaitu BERSEKUTU (Teringat pula jata Malayasia dengan motto — Bersekutu Bertambah Mutu). Sana-sini orang bercakap pasal parti baru itu. Saya salute dengan usaha BERSEKUTU kerana mengangguk di air keruh, mengambil kesempatan daripada kebencian orang ramai kepada PBS. Awal 90’an UMNO masuk di Sabah, alasannya mereka sudah melihat peluang mereka untuk mengembangkan pengaruh di sini dan keduanya banyak pemimpin-pemimpin Sabah ini beria-ia  mahukan supaya parti orang Melayu ini masuk ke sini dan saya tidak pasti samada pemimpin-pemimpin ini kita boleh kategorikan sebagai bijak atau bodoh? dan UMNO menang pada percubaan pertama kali untuk menakluk Sabah (selepas beberapa pemimpin PBS lain mengambil keputusan untuk menikam Joseph Pairin dari belakang). Akibat daripada keputusan ‘Katak A.K.A Bongkok’ ini ia telah merubah landskap Sabah secara keseluruhan untuk 10 tahun yang akan datang. UMNO telah mengubah hubungan antara kaum, antara agama, antara budaya dan segala macam di Sabah. Dahulu kita tidak pandai mengkelaskan diri kita, sekarang kita sudah pandai. Dahulu kita tidak pandai membeza-bezakan pegangan agama, sekarang kita sudah pandai. Ada orang-orang KDM melulu yang akun pula jadi orang Melayu (supaya terus berada di dalam UMNO, supaya terus berkuasa dan berharta). Penyakit-penyakit orang Melayu bawaan UMNO sudah menular di kalangan masyarakat kita. Pun begitu, orang-orang Sabah tetap memandang UMNO atau BN itu dengan pandangan tinggi, masih menganggap mereka ini dewa-dewi.

PRU12 lalu menyaksikan tsunami politik melanda negara. BN hampir-hampir sahaja tidak berjaya mendapat majoriti  2/3 dewan. Banyak pemimpin2 BN/UMNO yang kecut perut. Di Semenanjung, nyata rakyat telah membuat pilihan yang tidak seperti selalu. Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan BN daripada tumbang pada masa itu. Bagi menghargai peranan Sabah dan Sarawak dalam menyelamatkan BN yang hampir lemas, BN menganugerahkan Sabah & Sarawak ini gelaran ‘Fix-Deposit’. Samada anda terhina atau tidak, ia bergantung bagaimana anda mentakrifkan istilah ‘fix deposit’ ini. Bagi yang sedar, memang mereka sudah mula melihat kepincangan-kepincangan dalam BN memerintah negeri ini. Daripada isu PTI, isu royalti minyak, isu tanah yang ‘dirampas’ oleh Felda, isu perkauman etc. semuanya ada sahaja kepincangan-kepincangan yang sengaja dibuat dan dibiarkan oleh BN yang ditunjangi oleh UMNO. Parti-parti Sabah yang menjadi komponen BN seperti SAPP, UPKO, PBS menjadi cacing kepanasan. Segala permasalahan yang menyangkut kepada rakyat dan negara, parti-parti ini dipersalahkan. Mereka dituduh (memang betul pun) telah gagal membela dan menjalankan tanggungjawab mereka kepada orang-orang Sabah sementalahan mereka ini duduk goyang kaki di kerusi empuk dalam rumah BN. Parti-parti ini tidak boleh berbuat apa-apa, siapa berani mendahului boss? siapa berani melawan cakap boss? akhirnya mereka memilih untuk berdiam diri walaupun telinga dan punggung semakin panas.

SAPP akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada BN, tidak lama selepas BN sekali lagi merajai Sabah pada PRU12. SAPP berpendapat selagi parti ini berada di dalam BN, selagi itulah suara-suara rakyat tidak akan didengari, selagi itulah nasib rakyat Sabah tidak terbela. Di luar SAPP boleh bersuara sebebasnya menghentam kepincangan-kepincangan BN, kebobrokan-kebobrokan BN dan sebagainya. Banyak yang bertepuk tangan dengan kelantangan SAPP, tidak kurang juga yang mengutuk dan mencaci (yang saya percaya adalah pengkhianat-pengkhianat yang telah ‘menjual’ Sabah kepada UMNO). Tapi satu yang BN lupa, bahawa dengan kelantangan dan keberanian SAPP itu telah menawan hati generasi baru Sabah yang sentiasa dahagakan reformasi atau perubahan. Selagi SAPP berpegang kepada prinsip perjuangannya “Parti Rakyat, Dari Rakyat, Kepada Rakyat” maka saya percaya SAPP akan sentiasa mendapat sokongan rakyat. Saya melihat masa depan Sabah dan rakyatnya yang lebih cerah di bawah pimpinan SAPP.

Jangan melihat parti pembangkang ini sebagai racun, sebagai perosakkan yang perlu dibendung atau dihalang atau dihapuskan. Demokrasi akan mati tanpa pembangkang. Sistem pentadbiran akan terbantut tanpa pembangkang. Sudah tiba masanya untuk kita mengubah pemikiran politik kita sudah tiba masanya kita mengubah cara kita berpolitik dan sudah tentu sudah tiba masanya KITA BERUBAH.

Perubahan untuk masa depan yang lebih cerah!

Bila Orang Kita Membuat Filem

Posted: September 15, 2011 in Uncategorized

Saya bukanlah peminat kepada filem-filem tempatan. Filem-filem Malaysia (Filem Kita Wajah Kita) pada saya cumalah semata-mata hiburan dan peluang untuk menjana wang. Orang-orang Malaysia suka berhibur, suka berkhayal, suka bercinta dan sukakan sesuatu yang mengarut dan orang2 yang otaknya geliga mengambil kesempatan ini untuk membuat filem yang mereka fikirkan boleh dijual. Jadi jangan tanya saya apa-apa perkembangan filem2 Malaysia. Jika saya menonton pun kerana saya terpengaruh dengan rating yang diberikan oleh penonton dan media, saya menonton kerana berbaloikah rating yang diberikan kepada filem tersebut. Kita ketepikan dahulu soal filem2 Melayu sekarang ini kerana saya ingin membawa anda meninjau isu-isu filem acuan dan buatan orang-orang kita, orang Sabah.

Saya tidak kenal siapa itu Tony Francis Gitom (walaupun saya tahu dia ini seorang yang suka membandingkan orang-orang Kadazan dan orang-orang Dusun) tapi saya berpendapat setakat ini dialah satu-satunya pengarah filem dari Sabah yang paling berjaya setakat ini. Saya salute dengan usaha-usaha ‘pengarah filem terjun’ yang lainnya pula. Walaupun plot cerita tunggang-langgang tapi sekurang-kurangnya filem sudah siap dan sudah pula berada di pasaran — menunggu orang membelinya. Penggiat-penggiat filem amatur di Sabah harus belajar cara pengarahan yang betul, bagaimana mencari sudut yang baik, pencahayaan yang baik, lokasi yang baik, pemilihan costume dan teknik solekan yang baik dan sebagainya. Lebih penting bagaimana menulis satu skrip filem yang baik dan tahu menilai skrip yang baik.

Tidak patut jika sekiranya filem itu kononnya berlatarkan zaman dahulu tetapi ada pula longkang konkrit, atap zink di dalam scene filem. Tidak patut sekiranya babak filem itu adalah cemas, ganas, menakutkan tetapi ada pula kelibat lelaki dibelakang duduk senang-lenang menghisap kirai, tidak pedulikan apa yang berlaku di depan matanya (yang pada akhirnya baru diketahui bahawa dia adalah orang kampung yang datang tengok2 macam mana filem dibuat tapi ‘terinterframe’). Tidak pula disunting atau mungkin terlepas pandang. Mana mungkin pula filem berlatarkan purbawara tetapi wanita2 yang ditampilkan pula siap dengan rambut-rambut yang diwarnakan sini sana. Semua ini adalah kesilapan-kesilapan yang sebenarnya boleh dielakkan tetapi tidak diberikan perhatian oleh penggiat-penggiat filem kita. Asal filem siap dan boleh dijual siapa kisah. Lagipun pembeli2nya adalah dari kalangan orang bekelas rendah (itu pendapat mereka) yang cuma mahu supaya filem itu membuatkan mereka suka, ketawa dan terhibur. Siapa mahu kisah dengan plot ceritanya, dengan tahap kelojikkannya?

Saya cukup suka menonton filem pendek yang dibuat oleh En. Fazli Morinding (betulkan saya jika saya salah mengeja namanya). Dia sahabat saya satu sekolah dan satu universiti. Dia mempunyai fikiran yang tajam dalam memilih cerita yang hendak dipersembahkan. Cerita filemnya bermesej, penuh dengan pengajaran dan saya betul-betul menghargainya. Jadi dia memang layak untuk mengungguli pertandingan filem pendek yang telah dianjurkan sedikit masa lalu. Cuma saya sekali kerana kualiti filemnya tidaklah sebaik mana. Kita maklum kerana khabarnya beliau cuma menggunakan video-cam yang biasa. Tidak seperti orang lain yang menggunakan video-cam yang berharga puluhan ribu ringgit. Jika orang-orang berbakat seperti Saudara Fazli diberikan bantuan dalam mengembangkan kariernya saya fikir dia akan mampu pergi jauh dan bersaing dengan pengarah-pengarah filem lain yang sudah ternama.

Jangan politikkan filem, pemimpin2 yang ada jangan jadikan filem sebagai saluran atau kempen politik anda. Biarkan filem bernafas dengan sendirinya. Biarkan filem sendiri mengupas isu-isu kemasyarakatan yang timbul dalam hidup kita sekarang, biar jadi renungan dan pengajaran kepada semua orang. Jika filem dipolitikkan, ditentukan jalan ceritanya oleh orang-orang politik sudah tentu mesejnya akan mati. Kepada semua penggiat-penggiat filem amatur Sabah, berusahalah untuk mempertingkatkan diri supaya satu masa nanti anda boleh keluar dengan filem yang berkualiti dari segenap segi.

Saya akan menunggu filem itu tiba.

 

Hari Raya

Posted: September 14, 2011 in Uncategorized

Belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan anutan. Semua perayaan di Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun ia hendaklah diraikan mengikut corak dan cara orang-orang Islam, cara Islam Malaysia. UMNO boleh senyum PAS pun boleh senyum. Kalau kawan mengucapkan “Selamat Hari Raya saudara” saya akan menjawap “Selamat Hari Raya juga, tapi yang selamat hanyalah Hari Raya, saya tidak selamat”. Kenapa begitu? kenapa tidak! hari raya menyebabkan saya melayang banyak wang. Beratus ringgit yang habis. Bermula dari masa membuat biskut kuih, kuih-muih sehinggalah ke open house dan balik semula ke tempat bekerja, semuanya perlukan duit. Kalau saya jenis orang kaya raya saya tidaklah kisah sangat tapi saya jenis kais pagi makan pagi dan kais petang untuk di makan waktu petang. Jadi duit sebanyak itu memang betul2 sangat sayang untuk dibelanjakan.

Kalangan kita yang menjadikan kita semakin ‘pandai’ membazir. Masyarakat kita semakin pandai memilih apa makanan yang mereka suka dan mereka tolak. Makanan yang kurang sedap akan ditolak ke tepi dan makanan yang sedap sudah tentu berabis di makan (malahan ada yang tidak segan silu manapaunya). Akibat daripada tabiat itu, kita terpaksa menyediakan juadah yang boleh diterima oleh masyarakat walau bagaimana pun susah kita hendak menyediakannya. Sudah tentu, makanan yang mahal perlukan banyak duit dan sebaliknya. Kita senang-senang menjamah makanan yang sedap-sedap tetapi sedetik pun tidak memikirkan bertapa susah-payahnya tuan rumah menyediakannya. Itulah maksud saya kita terpaksa berbelanja hanya kerana kita didesak oleh masyarakat berbuat begitu.

Orang-orang yang kurang berkemampuan langsung tidak dipandang, kerana mereka tahu yang golongan ini memang tiada apa-apa yang disorongkan untuk dijamah. Adapun apa sangatlah makanan-makanan yang tidak sedap itu. Saudara-saudari, inilah yang merosakkan kita sebenarnya. Apakah makanan itu lebih penting daripada semangat persaudaraan dan ziarah-menziarah sesama kita pada hari mulia ini? Kita sudah tanamkan di dalam kepala kita dan generasi2 baru kita bahawa Hari Raya adalah Hari Untuk Makan! Alasan puasa 1 bulan, patut makan pun 1 bulan.

Kembang hidung kita dipuji tetamu apabila meja kita penuh dengan pelabagai jenis biskut, ada 20 jenis semuanya, malahan sehingga 25 jenis sampai meja tidak muat. Biskut-biskut moden pula yang cantik berwarna-warni pelbagai perisa yang sudah tentu sedap-sedap (dan mahal). Biskut2 konvensional sudah tidak boleh pakai dan dipandang. Dahulu waktu beraya, saiz2 biskut comel-comel belaka. Boleh muat sekaligus dalam mulut. Tapi kerana ‘komplen’ dan umpatan si Minah Komplen, biskut raya tahun ini gedabak saiznya. Sama besar dengan tombol pintu. Tidak boleh masuk sekali ke dalam mulut. Akhirnya digigit sedikit dan dibuang. Hallo! kos membuat sebiji biskut itu ialah RM0.70! senang2 kau buang?. Kenapa mahu marah? yang kita buat biskut mahal-mahal dengan saiz gedabak itu siapa pula yang suruh? itulah bahananya bila gila populariti dan pujian.

Dulu tetamu tidak kisah pun rumah kamu berlangsir atau tidak, berperabot atau tidak. Jika halaman rumah kau cantik, bersih dan kemas itu sudah memadai dan sudah tersangat mengujakan. Biarlah dindingnya dari bambu, biar atapnya dari nipah. Siapa kisah?! (saya merindukan suasana kampung saya satu ketika dahulu — ketika orang masih tidak gila mencari harta dan berlumba-lumba mahu megah). Sekarang kau tidak boleh buka rumah jika langsir tiada, jika tikar plastik tidak bertukar atau jika rumah tidak di cat dengan warna baru. Kita bukannya mahukan sangat benda-benda ini dibuat tapi kita sudah tidak ada pilihan. Buat atau malu? sebab sudah banyak pengomen-pengomen yang graduate dari AF di kampung.

Jadi, setiap kali beringatlah ketika berbelaja. Ingatlah bahawa sikap-sikap suka menilai dan memilih ini telah ditanamkan oleh orang-orang berkepentingan dalam perniagaan ke dalam diri kita. Sikap ini telah merosakkan sikap dan toleransi kita terhadap kehidupan sebenar kita dan orang lain. Tidak payah ambil pusing jika orang gelar kita si Haji Bakhil, kerana jika kita ambil pusing maka pada hujung bulan kita akan bergelar si Papa Kedana atau si Kaki Hutang.

Bersederhana dalam semua hal, bukankah itu lebih baik?

Maaf Zahir & Batin.

Selamat datang bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Bulan penuh keberkatan, bulan penuh kemuliaan dan juga bulan penuh cabaran, dugaan dan godaan. Godaan bukannya datang daripada hantu syaitan yang direjam tetapi oleh hawa nafsu kita yang tidak pernah kering dan puas. Syaitan-syaitan diikat dan dipenjara pada bulan ini supaya anak-anak Adam dan Hawa ini boleh beribadah dengan penuh khusyuk dan adil. Supaya tidak nanti anak-anak ini tidak menyalahkan syaitan apabila mereka membuat kemungkaran pada bulan mulia ini. Ini adalah pertarungan di antara semua muslim atau muslimah dengan hawa nafsu mereka — 1 lawan 1!

Puasa bukan sahaja melarang kita membuat perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, minum, memasukkan benda ke dalam rongga badan etc. tetapi juga melarang kita melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan mutu puasa kita. Puasa yang terjaga, tinggi mutunya dan sudah tentu ‘dibeli’ dengan mahal oleh tuhan. Tetapi, puasa yang tidak dijaga, rendah mutunya dan sudah tentu ‘dibeli’ dengan harga yang rendah oleh tuhan — baiklah jika dibeli, jika ditolak terus? ya, jika ditolak terus sia-sialah kita berlapar, dahaga dari pagi hingga ke petang. Jadi apakah perkara-perkara yang boleh menjejaskan puasa tetapi tidak membatalkan puasa? jawapan saya ialah apa sahaja perkara-perkara buruk dan dikeji oleh tuhan tetapi tidak pula membatalkan puasa. Mengumpat, menipu, mencuri, berbohong dan banyak lagi yang saya tidak mampu sebut satukan persatu di sini. Ada satu ustaz saya dahulu mengumpamakan puasa seperti anda mempunyai kredit atau merit sebanyak 100 mata. Setiap kali anda membuat kesalahan yang tidak membatalkan puasa maka setiap kali itulah mata atau merit anda akan ditolak. Jumlah mata yang ditolak bergantung kepada berapa besar kesalahan yang telah dilakukan. Kalau mata sudah habis ditolak? sudah negatif? sudah baki? “sudah tentu puasa telah terbatal secara automatik”! katanya. Saya menjawap, mana adil!! mana keadilan?! kalau saya berbuat baik pula sehingga saya boleh menebus balik mata-mata yang hilang sehingga mata yang terkumpul selepas itu melebihi tahap negatif, tahap baki, bagaimana pula? sudah tentu puasa saya diterima semula oleh tuhan. Ustaz saya terdiam, dia tidak berkata apa-apa. Saya harap dia tidak menyimpan di dalam hatinya ‘bantahan’ saya itu sehingg sekarang.

Jangan fikir pula bahawa Ramadhan ini hanya membawa keberkatan dan kemurahan rezeki kepada orang Islam dan orang Melayu sahaja kerana ini sebenarnya untuk semua kaum dan semua agama. Bagaimana rezeki mahu murah jika sekiranya seorang Islam yang berpuasa itu hanya duduk atau berbaring sahaja menunggu waktu berbuka puasa? tentu tidak! jangan pula marah bila si apek atau si ah chai bergelumang dengan duit dek rezeki ramadhan yang melimpah ruah. Ingat, rezeki itu diusahakan bukannya ditunggu datang. Tapi kalau anda bertanya kenapa pula si pengemis yang hanya duduk terlentang, terbaring itu melimpah ruah bekasnya dengan duit2 sedekah daripada orang yang lalu-lalang? belum tentu pula si pengemis itu berpuasa? yang itu saya tidak boleh jawap, untung, maut, jodoh dan rezeki si pengemis itu adalah ketentuan tuhan. Tapi saya fikir anda tidak mahu menjadi seorang pengemis hanya kerana itu bukan? dan bukankah tangan di atas itu lebih mulia daripada tangan di bawah?

Puasa itu bukan hak eksklusif orang-orang Islam dan Melayu sahaja. Ia milik semua kaum dan agama. Sebelum Islam muncul, penganut-penganut agama Nasrani @ Krisitian sudah lama berpuasa. Sebelum turunnya agama Nasrani ini, orang-orang yang menganut agama Yahudi sudah lama berpuasa. Jadi apabila seorang penganut agama lain ikut sama berpuasa dengan anda, jangan pandang mereka dengan sebelah mata, jangan menghina mereka, jangan mengata dan memperkecil-kecilkan amalan mereka kerana agama mereka terlebih dahulu mengamalkan ajaran ini jauh sebelum agama Islam mengamalkannya. Samada puasa mereka diterima atau tidak, itu biar tuhan yang tentukan. Manusia tidak ada kuasa untuk menghakimi amalan dan perbuatan sesama manusia. Puasa kita, amalan kita sebagai orang Islam pun belum ditentu diterima oleh tuhan.

Saya masih ingat dahulu ketika saya masih bersekolah di SMK. Timbua, Ranau pada tahun 1992. Bila tiba bulan puasa, pelajar muslim dan non-muslim duduk sebelah-menyebelah bersahur dan berbuka puasa. Alangkah indahnya kenangan itu dan alangkah sucinya perasaan pada zaman kanak-kanak. Perasaan yang masih tidak dicemari oleh hasad-dengki dan buruk-sangka terhadap bangsa dan agama lain. Masihkan amalan-amalan manis seperti ini berlaku sekarang? Masihkah?

Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, kita latih hati dan perasaan kita untuk menerima dengan ikhlas saudara-saudara kita yang lain tanpa mengira kaum dan agama. Semoga tuhan memberkati usaha-usaha murni kita ke arah sebuah Negeri Sabah aman dan makmur! untuk masa depan Sabah yang lebih cerah!.

Sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dan membuatkannya sebagai slogan politik BN/UMNO, saya rasa di Sabah sudah mengimplementasikan konsep ini terlebih dahulu sebelum Malaysia merdeka atau sebelum Sabah ikut membentuk Malaysia pada 1963. Di tanah Melayu mereka cuma ada tiga (3) bangsa utama iaitu Melayu, Cina & India walaupun sebenarnya masih ada ramai lagi bangsa yang lain. Saya rasa orang2 yang mendokong media massa utama di tanah Malaya @ Melayu sudah mula bermain dengan api perkauman apabila cuba meniadakan bangsa-bangsa lain dalam tanah Malaya.  Kes di Sabah sangat unik dan umum mengetahu bahawa kita ada 32 kumpulan etnik di sini yang hidup aman, makmur dan harmoni semenjak dahulu kala. Bukan perkara pelik apabila dalam satu kampung itu penduduknya bercampur gaul daripada orang Dusun, Bajau, Cina, Murut, Rungus, Sungai etc (yang saya tidak mampu sebutkan satu persatu). Bukan pelik juga apabila dalam satu keluarga itu anda melihat ada pelbagai bangsa di dalamnya. Orang Dusun atau Kadazan berkahwin dengan orang Cina adalah perkara biasa, orang Dusun berkahwin dengan orang Bajau adalah perkara biasa, dengan orang Suluk, dengan orang Pakistan, dengan orang Banjar, dengan orang Jawa — itu perkara biasa di Sabah.

Saya sendiri berkahwin dengan orang Sungai, adik-adik saya yang lain berkahwin dengan orang Iban dan Melayu sementara yang lain2 bertekad untuk ‘mempelbagaikan’ lagi keluarga kami dan saya percaya mereka bersungguh-sungguh bercakap begitu. Dalam keluarga saya ada yang bermata sepet, berambut kerinting, berkulit hitam manis dan bercakap pelbagai dialek dan bahasa dan semuanya berharmoni dengan baik sekali. Bila saya balik ke rumah isteri saya, saya makan bersama mereka dengan nasi dan lauk yang sama daripada periuk yang sama. Tidak timbul keluarga isteri saya itu masih beragama Kristian dan saya Muslim. Tiada yang sibuk pasal makanan itu dimasak oleh ipar-ipar atau mentua saya yang beragama Kristian. Tiada yang sibuk pasal kehalalan dan keharaman kerana mereka memang sangat menghormati agama Islam iaitu agama baru anak perempuan mereka, isteri saya. Ipar orang Melayu saya itu pula sangat baik orangnya, tidak sombong dan tidak racist seperti orang Melayu yang lain. Masa dia naik meminang hari itu, saya awal2 bagi warning supaya ” Di mana tanah dipijak di situ langit dijunjung” dan saya percaya dia betul2 ingat dan amalkan pepatah itu. Yalah bukankah bangsanya sendiri yang mencipta pepatah itu?

Dahulu orang-orang di Sabah merujuk orang itu tepat kepada bangsanya. Kalau dia adalah orang Dusun, maka dia akan dipanggil orang Dusun. Kalau dia orang Bajau, dia akan dirujuk sebagai orang Bajau etc. Setiap satunya dirujuk mengikut bangsa mereka sendiri. Sekarang ini pengkelasan yang diterima umum oleh semua rakyat Sabah ini sudah mula rosak, semuanya selepas UMNO masuk ke Sabah. Sekarang ini orang-orang Sungai yang beragama Islam tidak mahu dipanggil Orang Sungai lagi, mereka mahu dipanggil orang Melayu. Demikian juga bangsa2 lain yang beragama Islam, mereka tidak mahu lagi dipanggil Bajau, Suluk, Bugis Idahan tapi mereka ini mahu dikelaskan sebagai orang Melayu — mahu mengikut seperti yang ada di Malaya! orang Melayu, Cina dan India. Rosak! memang sudah rosak. Bila saya bercerita dengan kawan2 beragama Islam yang lain mereka selalu merujuk diri mereka itu orang Melayu dan mereka orang Cina. Saya sendiri seorang Muslim yang berbangsa Dusun — Dusun sebenar tapi tidak pula sehingga mengaku saya ini orang Melayu. Saya tidak mahu mengadaikan bangsa saya hanya kerana agama.

Tidak hairanlah jika sekarang ini jurang perkauman di Sabah semakin membesar dari hari ke hari dan inilah yang disukai oleh orang-orang dari tempat lain supaya kita ini berpecah dan kita mudah untuk diperintah dan dikuli-kulikan. Sekumpulan manusia yang berlainan bangsa atau pun agama di Sabah boleh duduk minum kopi atau makan-makan dalam satu meja. Si Cina makan babi, si Bajau dan si Bugis tidak kisah — lantak dialah apa mau makan. Jangan mulut si Bajau itu dan si Bugis itu disuap dengan babi — sudah. Orang Dusun mau makan tuhau, mau makan jeruk ikan siapa mau ambil pusing. Si India yang duduk di sebelahnya tidak mengomel malahan cuba untuk makan bosou @ jeruk itu juga. Kalau dia tidak berkenan dan mahu muntahkannya, muntahkanlah. Akhirnya si Dusun ketawa terbahak-bahak, tiada sekelumit pun dalam hatinya dalam otaknya berfikiran bahawa si India itu kurang ajar atau tidak menghormati makanannya. Sudah dia tidak mahu apa mau dipaksa? malahan perkara ini jadi bahan usikan dan jenaka tanda kepada sikap toleransi dan persaudaraan yang tinggi pada diri orang-orang Sabah — saya katakan dahulu dan sekarang itu sikap ini makin terhakis, makin terkikis.

RUMAH TERBUKA MALAYSIA – bunyinya pun sudah cukup gah. Hari Raya, Hari Deepavali, Hari Gong Xi Fatt Choi semua pun kerajaan buat Open House! meriah kerana bermacam2 bangsa dan agama ada di sana dan lebih meriah kerana banyak jenis makanan ada di Sana. Kalau kita meletakkan ini sebagai tanda aras kepada kejayaan kita dalam menyatukan kaum-kaum di Malaysia, kita sebenarnya salah. Kalau betul mahu menguji silakan jemput untuk beraya di rumah. Sudah tentu orang Melayu tidak akan makan dengan piring, gelas, sudah, garfu etc. yang orang Cina atau India gunakan sehari-hari di rumah walaupun alat-alat makan ini sudah di samak berkali-kali oleh Imam. Tidak akan minum daripada air yang dibuat dijug yang diguna sehari-hari di rumah, takut bekas itu pernah diisi dengan bir atau todi. Akhirnya bila orang Cina atau India mahu menjemput Melayu ini, mereka hendaklah sediakan air botol mineral atau air berkarbonat dalam botol, gelas2 dan piring2 baru atau kertas etc. Makanan yang disediakan haruslah dipesan daripada caterer @ catering jika tidak mereka tidak akan makan. Nah, barulah di sini kita melihat sejauh mana sikap toleransi, keterbukaan dan penerimaan itu berjalan. Adakah kita benar-benar sudah menerima bangsa lain? akan tetapi cubalah bertandang ke pesta-pesta di kampung mana-mana pun di Sabah, saya jamin perkara ini tidak akan berlaku atau hanya sipi-sipi berlaku.

Sungguh merugikan apabila kita masih tidak boleh menerima bangsa-bangsa lain atau penganut-penganut agama lain sepenuhnya di Malaysia. Saya bersyukur kerana di Sabah kita dilimpahi oleh perasaan kekitaan yang cukup tinggi (walaupun saya tidak boleh menjangkakan dengan tepat bila semua ini akan hilang) tapi sekurang-kurangnya sehingga sekarang ia masih bertahan walaupun sudah mula terhakis. Di Sabah penduduknya membiarkan perasaan kekitaan, persaudaraan dan penerimaan kepada bangsa dan agama lain itu tumbuh dengan sendiri tanpa perlu dipaksa-paksa atau di canang di sana-sini. Kerja yang perlu dilakukan adalah menyiram dan membaja perasaan itu, biar ia tumbuh dengan subur merimbun. Terlalu mendesak bangsa dan agama menerima satu sama lain cuma akhirnya akan menyemai perasaan kekitaan dan persaudaraan yang palsu dan terpaksa — kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Belajarlah daripada Sabah dan Sarawak yang telebih dahulu makan garam dalam perkara ini.

No More Racist!

Saya asyik berfikir benda yang sama — ya, benarkah di Malaysia ini yang kita panggil sebagai negara bebas yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan A.K.A raja berperlembagaan ini kita bebas bersuara dan berpolitik? Kerajaan BN cakap kita bebas dan itu memang tertulis di dalam Perlembagaan Malaysia. Bila Orang-orang pembangkang bersuara menghentam kerajaan, pencacai t$%i kerajaan ini buat laporan polis sini-sana, bawa kes pigi court, kononnya pembangkang cubamenimbulakan huru-hara kaum, huru-hara agama. Sekejap saja mahmakah sudah buat tindakan dan selalunya pembangkang kalah! gigit jari lari tercirit-birit. Pembangkang buka mulut sikit terus masuk I.S.A. Bila pembangkang bercakap soal agama dan kaum yang memang terbukti baik sebabnya untuk dia bercakap — Kerajaan cakap pembangkang memainkan isu agama dan perkauman dan disokong pula oleh media-media massa yang bertuankan BN/UMNO. Bila tiba giliran UMNO bercakap menghentam pembangkang dengan pelbagai bentuk caci-maki yang mana orang Dusun cakap ‘au aakan dot tasu ot boros‘ atau dalam bahasa Melayunya ‘anjing pun tidak boleh makan itu cakap’ tiada pula polis buat tindakan atau mahkamah buat tindakan walaupun sudah berlori-lori laporan dibuat oleh pembangkang atau orang ramai. PM tutup mulut, Hisahamudin tutup mulut — polis tutup mulut sebab boss mereka pun tutup mulut juga. Khairy Jamaludin tidak masuk ISA bila dia bercakap pasal agama dan bangsa, Hisahmudin Onn tidak masuk ISA bila mencabut keris di depan mata orang Malaysia, Ibrahim Ali si kodok juga tidak dimasukkan ke ISA bila dia bercakap pasal perang jihad atau perang salib untuk memerangi orang Kristian di Malaysia.

Surat khabar Harakah pernah digantung pengeluarannya beberapa kali dan diberi status pengedaran terhad walaupun ia jelas cuba bercakap sebenar mungkin, maklum saja ia adalah surat khabar orang Islam yang saya fikir lebih besar peluang mereka untuk masuk ke syurga berbanding dengan pemimpin2 BN/UMNO yang lain. Utusan Malaysia yang jelas cuba memporak-porandakan masyarakat Malaysia dengan tulisan-tulisan yang berat berbaur keagamaan dan perkauman malahan dijunjung-junjung oleh UMNO, ya maklum saja itu adalah surat khabarnya. Tidak pula digantung lesen penerbitannya, tidak pula dihadkan pengedarannya. Nasib baik juga ada internet, jika tidak tentu rakyat hari-hari ‘makan tahi’ kerajaan daripada mangkuk Utusan Malaysia ini. Saya bertaruh, volume jualan surat khabar ini sendang menjunam turun sekarang!

Rakyat Malaysia yang bekerja dengan kerajaan tidak boleh bersuara melawan boss! ampu boss boleh! biarlah kau terlolong terpekik sana – sini asalkan sahaja kau buat untuk kerajaan tiada masalah. Pekerja-pekerja yang berkerja di swasta juga terkena tempias yang sama malahan lebih teruk. Apalagi kalau majikan mereka itu hidup atas ehsan kerajaan. Sebelum bekerja mereka kena buat AKU JANJI dan menandatangani perjanjian yang di dalamnya tertulis “anda dilarang untuk menyertai sebarang aktiviti yang tidak berkaitan dengan syarikat”. Jika syarikat ini adalah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan hidup atas ehsan kerajaan maka apa-apa badan, organisasi termasuk aktiviti-aktivitinya yang bertentangan dengan kerajaan adalah larangan @ taboo kepada mereka. Tengok bagaimana kerajaan dan tali barutnya ini mencekik dan menutup mulut orang-orang ini. Kau melawan atau melanggar larangan, kau akan diturunkan pangkat, dipindahkan tempat bekerja jauh ke pedalaman, tidak dinaikkan gaji atau pangkat etc. Orang-orang swasta pula diberhentikan terus — kontrak kerja tidak disambung dan sebenarnya ugutan-ugutan ini sangat berjaya! kenapa saya katakan begitu kerana saya adalah salah seorang mangsanya.

Jadi di mana sebenarnya kebebasan itu? saya fikir kita hanya akan bebas bersuara jika kita ini tidak terikat dengan mana-mana kepentingan BN/UMNO ini. Sesiapa sahaja di luar sana seperti yang mahu berjuang, berpolitik untuk kelangsungan masa depan bangsa (seperti saya) maka kita terpaksa berhenti kerja dahulu supaya kita bebas! dan kita tidak ada pilihan. Selagi kau menjadi orang kerajaan selagi itulah kau tidak bebas untuk mengeluarkan pendapat kau sendiri. Itulah pasal kebanyakkan pemimpin itu adalah daripada golongan yang kaya-kaya yang tidak bekerja dan terikat dengan sesiapa pun. Inilah sempadan yang telah UMNO/BN letakkan dan kau jangan cuba-cuba jadi hero untuk melangkahnya. Kita bukannya apa-apa dan siapa-siapa tapi cuma buah catur oleh kerajaan — PRU13 inilah masanya untuk kita berubah untuk masa depan bangsa kita yang lebih cerah.